Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, se­ta­kat ini gaji te­­rendah yang diterima oleh kakita­ngan awam se­banyak RM805 sebulan tidak memadai dan di bawah paras kemiskinan terutama bagi yang tinggal di kawasan bandar.

Menurutnya, tangga gaji itu ti­dak sepadan de­ngan garis kemiskinan yang telah ditetapkan iaitu bagi yang berpendapatan ba­wah RM880 sebulan dikira sebagai berada di bawah paras kemiskinan atau dikategorikan miskin bandar.

“Setakat ini, gaji terendah dalam perkhidmatan awam adalah RM805 dan RM820 sebulan. CUEPACS meng­gesa kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam 35 peratus agar gaji golongan itu boleh mencecah paling minimum RM1,200 sebulan.

“CUEPACS juga mahu kerajaan memperkenalkan jadual gaji yang lengkap dengan tangga gaji bermula daripada gaji minimum kepada maksimum selain membuat semakan gaji setiap tiga tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam dan Taklimat Isu-Isu Semasa kepada kakitangan awam di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras anjuran CUEPACS yang dihadiri lebih 500 kakitangan awam di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Azih juga menyampaikan Memorandum CUEPACS 2015 berhubung tuntutan itu kepada Ketua Pengarah Perkhid­matan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dengan disaksikan ahli-ahli jawatankuasa kongres tersebut.

Kata Azih, kenaikan dan semakan gaji kakitangan awam itu pen­ting kerana kali terakhir kerajaan berbuat demikian adalah pada tahun 1995 dan ia relevan dengan keperluan dalam kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Tahun 1995 adalah kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dibuat oleh kerajaan dan sepatutnya lima tahun sekali diadakan semakan terbaharu tetapi perkara itu tidak berlaku. Kalau boleh CUEPACS mahu semakan itu nanti dibuat setiap tiga tahun sekali.

“CUEPACS juga menggesa agar kerajaan hanya mengambil kakita­ngan awam yang mempunyai kela­yakan pendidikan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk be­kerja bagi mengelakkan mereka mendapat gaji di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Menurutnya, kenaikan 35 peratus gaji kakitangan awam itu juga berdasarkan hampir 70 peratus penjawat awam merupakan dalam kategori Kumpulan Pelaksana yang bergaji rendah dan sederhana daripada 1.6 juta keseluruhan kakita­ngan awam di negara ini.

Semakan kenaikan gaji itu bukan setakat perlu kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi ia juga amat diharapkan oleh penjawat awam berpangkat tinggi kerana desakan terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi.

futnote: kalau betul alhamdulillah..syukur