MoGa BeRKeKaLaN HiNGGa aKHiR NyaWa =))

Daisypath Anniversary tickers

PeRMaTa HaTi KeSaYaNGaN uMMi & PaPa

 Baby Birthday Ticker Ticker

PuTeRa PeNGiKaT CiNTa KaMi

Lilypie Third Birthday tickers

Tuesday, July 19, 2011

kalori kosong merbahaya utk kanak-kanak

BENTUK pemakanan yang diambil kanak-kanak seawal tumbesarannya amat penting dan perlu dikawal kerana ia akan membentuk diri mereka apabila dewasa kelak. Lebih membimbangkan, kanak-kanak obes kebiasaannya cenderung membesar sebagai individu dewasa obes jika masalah kegemukan dan pemakanan tidak diatasi lebih awal.

Masalah kegemukan dan obesiti turut dirangsang beberapa faktor lain seperti sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan pencapaian pendidikan anak-anak sehingga mereka tidak berpeluang bermain di luar, tarikan televisyen, Internet dan permainan komputer serta tiada galakan untuk terbabit dalam aktiviti cergas.


Namun, faktor paling utama tentu saja datang daripada gaya pemakanan khususnya kecenderungan kepada makanan manis. Pengambilan gula tambahan berpotensi menjadi punca kepada pengambilan kalori berlebihan yang menyumbang kepada masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak.

Pengarah Pusat Kajian Nutrisi Kanak-Kanak (CNRC), Profesor Peter Davies berkata, ketidakseimbangan tenaga iaitu antara pengambilan dan penggunaan kalori banyak mempengaruhi keadaan ini.


Selain itu, katanya, kekeliruan antara definisi dan fungsi gula khususnya gula tambahan dalam diet kanak-kanak juga memberikan kesan yang mendalam pada kesihatan mereka.

“Ibu bapa perlu mendapatkan dan memahami maklumat mengenai diet diperlukan anak sebaik mungkin supaya ia tidak disalahertikan hingga meninggalkan kesan memudaratkan pada anak.

“Cara terbaik dengan memahami terlebih dulu apa itu gula dan gula tambahan, kemudian barulah ibu bapa boleh mengubah dalam meningkatkan kualiti diet anak mereka,” katanya ketika ditemui pada bengkel Fakta Mengenai Gula - Mana Yang Betul dan Mana Yang Salah bersama media, baru-baru ini.

Beliau yang membentangkan kertas kerja Pentingnya Keseimbangan Tenaga dalam Diet Kanak-Kanak berkata, jika kanak-kanak tidak mencapai keseimbangan antara pengambilan dan penggunaan kalori seperti sepatutnya, berat badan mereka akan meningkat dengan ketara.

Peter berkata, berdasarkan kajian The American Journal of Clinical Nutrition (De Onis, AJNC;2010) tahun lalu dianggarkan 43 juta kanak-kanak prasekolah seluruh dunia mengalami permasalahan berat badan berlebihan manakala 92 juta lagi berisiko untuk mengalami masalah yang sama.

“Karbohidrat merangkumi sebahagian besar daripada pengambilan kalori kanak-kanak dan selepas dimakan, semua nutrien berkenaan akan bertukar menjadi gula. Gula ini memberikan kita tenaga dan jika tidak digunakan, ia akan disimpan sebagai lemak.

“Memilih makanan yang padat dengan khasiat dapat memastikan tubuh kanak-kanak menerima keperluan sepatutnya yang diperlukan untuk perkembangan dan tumbesaran mereka,” katanya.

Mengambil makanan yang mengandungi banyak gula akan membekalkan kanak-kanak dengan kalori. Ada kala kalori daripada makanan manis ini melebihi separuh daripada keperluan kalori harian tetapi makanan seperti ini biasanya mempunyai khasiat yang terhad.

Pakar pemakanan melabelkan gula tambahan dalam makanan sebagai ‘kalori kosong’ (mengandungi kalori tetapi tiada khasiat) dan pengambilan secara berlebihan akan meningkatkan risiko peningkatan berat badan dan kegemukan.

“Tindakan mengehadkan jumlah pengambilan gula tambahan dalam diet pemakanan mereka sememangnya amat dialu-alukan dan perlu diamalkan ketika anak masih kecil. Ini kerana cita rasa terhadap ‘manis’ dan ‘masin’ adalah cita rasa yang dipelajari. Jika dari awal anak tidak diajar atau didedahkan dengan rasa manis, kecenderungannya terhadap makanan dan minuman mengandungi banyak gula akan berkurangan.

“Oleh itu, ibu bapa perlu sedar akan hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak mereka,” katanya.

Turut hadir, Pengurus Besar Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd, David Ross.

Sementara itu, Ketua Saintis Institut Kajian Pemakanan Dan Tumbuhan, Palmerston North, New Zealand, Dr John Monro berkata, tidak dapat dinafikan kanak-kanak memerlukan glukosa (gula) untuk perkembangan otaknya tetapi biarlah gula itu datang daripada proses semula jadi badan (daripada makanan berkanji) bukan dengan memberikan ‘tenaga’ ataupun dos tambahan yang boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah pada kemudian hari nanti.

Beliau yang membentangkan kertas kerja mengenai Gula dan Gula Tambahan dalam Pelabelan Makanan berkata, terdapat banyak gula tambahan terkandung dalam hidangan makanan dan minuman yang sudah diproses.

Katanya, keadaan ini disebabkan kebanyakan nama ramuan yang digunakan kurang dikenali antaranya sukrosa, maltosa, dekstrin, sirap jagung dan sirap glukosa hinggakan ibu bapa memberikan anak mereka hidangan yang mengandungi banyak gula tanpa disedari.

“Semua nama ramuan berkenaan adalah komponen gula yang dipecahkan mengikut keperluan dan jika ia tidak diendahkan boleh memberikan kesan buruk kepada tahap kesihatan kanak-kanak.

“Adalah lebih baik untuk bersikap berhati-hati dan membaca terlebih dulu kandungan bahan digunakan dalam sesuatu produk yang ingin dibeli kerana ia boleh memberikan kesan kepada tubuh bagi jangka masa panjang,” katanya.

Menurutnya, secara kebiasaan ramuan yang berada pada awal label adalah bahan paling banyak digunakan dalam sesuatu produk. Malangnya ramai ibu bapa masih kurang peka mengenai perkara ini, malah lebih menyedihkan apabila ada yang menjadikan hidangan makanan segera termasuk minuman berkarbonat sebagai hidangan wajib apabila makan di luar.

Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar, tindakan membiasakan anak dengan makanan manis sebenarnya akan ‘menghadiahkan’ mereka dengan pelbagai masalah kesihatan berkaitan obesiti termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis dan kerosakan gigi. 

sumber: metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...