MoGa BeRKeKaLaN HiNGGa aKHiR NyaWa =))

Daisypath Anniversary tickers

PeRMaTa HaTi KeSaYaNGaN uMMi & PaPa

 Baby Birthday Ticker Ticker

PuTeRa PeNGiKaT CiNTa KaMi

Lilypie Third Birthday tickers

Tuesday, October 18, 2011

Mengantuk walaupun tidur lena



APABILA bercerita mengenai isu berdengkur, ramai menganggap ia perkara biasa dan sering berlaku apabila seseorang itu berada dalam keadaan teramat letih.

Tahukah anda ia adalah satu gejala penyakit? Hakikatnya, penghidapnya perlu mendapatkan rawatan segera kerana ia boleh menjejaskan kualiti tidur individu berkenaan serta menyebabkan aktiviti serta produktiviti hariannya terjejas.

Berdengkur atau apnea tidur obstruktif (OSA) adalah gangguan pernafasan ketika tidur iaitu pernafasan terhenti buat seketika iaitu sekurang-kurangnya 10 saat ataupun lebih kerana terdapat halangan di saluran pernafasan.

Ia berlaku apabila saluran pernafasan menjadi sempit ketika seseorang nyenyak tidur iaitu apabila otot di sekeliling ruang pernafasan dekat kerongkong menjadi kurang tegang dan hampir menutup saluran pernafasan itu.

Disebabkan itu, jika diperhatikan orang yang sedang berdengkur, tahap bunyi dengkurannya akan memuncak pada satu ketika kemudian senyap seketika, disusuli dengan bunyi seperti orang yang sedang sesak nafas.


Kitaran perlakuan tanpa sedar ini akan berulang sepanjang malam sehinggalah individu terbabit bangun pada keesokan harinya.

Menurut Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Raymond Tan, masalah berkaitan OSA perlu dilakukan pengesanan lebih awal terutama apabila mengalami gejala rasa mengantuk berlebihan pada waktu siang, berdengkur kuat hingga menimbulkan gangguan serta berada dalam keadaan tercungap-cungap atau tercekik ketika tidur.

Menurutnya, individu yang menghadapi masalah OSA tidak mengetahui tidur mereka terganggu walaupun adakalanya tersedar berulang kali ketika tidur.

“Kesannya, mereka tetap rasa mengantuk walaupun selepas bangun tidur dan ia boleh menyebabkan ketegangan diri disebabkan rasa tidak bermaya itu. Jika kita berhadapan dengan masalah ini, tidak betul jika meletakkan kemarahan kepada golongan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Klinik Apnea Tidur hasil kerjasama Pusat Perubatan Global Doctors dan Philips Malaysia.

Antara gejala lain yang boleh dilihat pada individu yang mengalami OSA termasuk berada dalam keadaan terhuyung-hayang dan sakit kepala pada waktu pagi, kerap bangun untuk kencing pada waktu malam, kemurungan serta cepat marah.

Dianggarkan tujuh peratus golongan dewasa ataupun 1.9 juta individu di Malaysia berhadapan dengan masalah OSA dan 80 peratus hingga 90 peratus daripada mereka tidak menyedari menghadapi masalah gangguan kronik.

Dr Tan berkata, OSA boleh berlaku sekiranya individu berkenaan memiliki beberapa faktor risiko antaranya kegemukan ataupun obesiti dan mereka yang memiliki leher besar serta penyempitan laluan udara rongga hidung.

Katanya, pelbagai bahaya menanti mereka yang tidak mendapatkan rawatan awal masalah OSA hingga boleh membahayakan nyawa individu terbabit.

“Mereka boleh mengalami tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko mengalami kencing manis, denyutan jantung tidak menentu atau penyakit jantung, angin ahmar atau strok serta mengalami kemalangan berkaitan kerja yang boleh membahayakan orang lain.

“Malah, ketika memandu juga boleh menyebabkan mereka terlelap tanpa disangka terutama apabila berada di persimpangan lampu isyarat dan ia sememangnya membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri, ia boleh menyebabkan tekanan dalam perhubungan akibat kekurangan waktu tidur kerana sering terbangun pada sebelah malam akibat bunyi dengkuran yang kuat. Ini menyebabkan mereka terlalu mengantuk pada waktu siang, sekali gus menjejaskan tugas harian.

Adakalanya, bunyi dengkuran yang terlalu kuat itu menyebabkan pasangan membuat keputusan lebih drastik iaitu tidur berasingan.

Menurutnya, di negara Barat terdapat kes perceraian berlaku yang berpunca daripada masalah pasangan berdengkur terlalu kuat.

“Walaupun diberitahu pasangannya, individu berkenaan enggan menerima hakikat mengenai penyakit mereka dan ia berlarutan hingga menjadi kes kronik.

“Keadaan ini boleh memburukkan lagi perhubungan disebabkan timbul rasa tidak puas hati terhadap masalah pasangan mereka itu,” katanya.

Di samping itu, walaupun masalah berkaitan OSA kebiasaannya sering berlaku kepada golongan dewasa terutama lelaki pertengahan usia, kanak-kanak juga boleh mengalami gangguan pernafasan ketika tidur.

Disebabkan waktu tidur yang tidak berkualiti ini, kanak-kanak yang mengalami OSA biasanya akan mengalami rasa mengantuk melampau dan bersikap agresif dari segi tingkah laku serta hiperaktif.

Malah, apabila tidur kanak-kanak ini juga akan bernafas menggunakan mulut disebabkan halangan pada laluan udara pernafasan mereka serta mengalami proses perpeluhan yang berlebihan ketika tidur.

Justeru, jika kanak-kanak berkenaan mengalami gejala masalah OSA, mereka perlu menjalani pemeriksaan perubatan dengan segera supaya dapat dikenal pasti punca sebenar dan rawatan susulan boleh diberikan bagi membantu mengurangkannya.

Kini, terdapat pelbagai cara untuk membantu merawat masalah ini iaitu sama ada melalui pembedahan bagi kes kronik ataupun secara konservatif (tanpa membabitkan sebarang pembedahan).

Kebiasaannya, teknik yang digunakan tanpa proses pembedahan membabitkan penggunaan alat tertentu.

Hadir sama dalam majlis pelancaran itu, Pengerusi Global Doctors, Datuk Dr Sharifah Fauziah Alhabshi; Pengurus Serantau Philips Malaysia, Weng Seong Lee dan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Terkini, rawatan diberikan adalah melalui klinik apnea tidur yang disediakan Pusat Perubatan Global Doktors dengan kerjasama Philips Malaysia yang menawarkan ujian diagnostik tidur dengan bantuan Sistem Alice 5 Diagnostik Tidur Philips iaitu sistem makmal kajian tidur bersepadu.

Weng berkata, kajian yang dilakukan Philips Indeks berdasarkan persepsi masyarakat Malaysia berkaitan tahap kesihatan dan kesejahteraan mendapati 17 peratus berhadapan dengan masalah tidak mendapat tidur secukupnya.

Hasil kajian juga menunjukkan masalah itu dipengaruhi perasaan negatif mereka terhadap kesihatan fizikal dan mental selama ini.

“Tidak dinafikan, kualiti tidur kurang memuaskan boleh memberikan impak negatif terhadap kesihatan seseorang individu dan ia perlu diambil perhatian segera.

“Mereka yang tidak pasti ataupun memiliki gejala OSA perlu mendapatkan bantuan pakar,” katanya.

Direka dengan memiliki suasana seperti berada di hotel, klinik ini menawarkan pemeriksaan tidur semalaman yang memberikan keselesaan kepada pesakit.

Malah, penggunaan Sistem Alice 5 Diagnostik Tidur Philips pula membantu memeriksa sistem pernafasan pesakit serta aktiviti otak dan kadar denyutan jantung dalam mendapatkan diagnostik tidur lebih komprehensif.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...